Kencing Manis dan Penyakit Jantung: Apa Kaitannya?

Sebut sahaja kencing manis dan kita berfikir tentang komplikasi seperti buta mata atau amputasi kaki. Akan tetapi, terdapat satu lagi komplikasi yang boleh membawa maut, iaitu penyakit jantung.

Penyakit jantung yang berkait dengan kencing manis mungkin tidak menunjukkan simptom biasa. Ini menyebabkan penyakit ini susah dikesan. Apabila terdapat beberapa simptom, adalah biasa untuk menganggap ia disebabkan penyakit yang lain. Ramai orang mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit jantung hanya apabila mereka mengalami sakit dada yang teruk (angina atau serangan jantung)[i].

Sudah tiba masanya untuk mengubah pemikiran kita.

Seseorang yang menghidap kencing manis lebih berkemungkinan mempunyai penyakit jantung daripada seseorang yang tidak menghidap kencing manis. Ini kerana kencing manis boleh menyebabkan salur darah menjadi sempit atau tersumbat. Seseorang yang menghidap kencing manis juga boleh:

  • Mendapat penyakit jantung pada usia yang muda
  • Mengalami penyakit jantung yang lebih teruk[ii]

Terdapat tiga jenis penyakit jantung yang pesakit kencing manis boleh hidapi:

Sumber Imej: https://www.nhlbi.nih.gov/health-topics/atherosclerosis

1. Penyakit jantung koronari

Pembentukan plak yang terdiri daripada lemak, kolesterol, kalsium, dan bahan lain di dalam darah menyebabkan arteri menjadi sempit, dan kemudian membawa kepada pengurangan aliran darah ke jantung. Penyakit jantung koronari boleh menyebabkan sakit dada atau ketidakselesaan (angina), degupan jantung tidak sekata (a), serangan jantung, dan maut.

Sumber Imej: https://watchlearnlive.heart.org/CVML_Player.php?moduleSelect=hrtflr

2. Kelemahan jantung

Lama-kelamaan, penyakit jantung koronari boleh melemahkan otot jantung. Ini merupakan keadaan apabila jantung anda mengalami kesukaran mengepam darah yang cukup ke seluruh badan. Anda boleh mengalami sesak nafas, mudah letih, atau buku lali dan kaki menjadi bengkak.

Sumber Imej: https://www.cormedicalgroup.com/cardiomyopathy

3. Kardiomiopati diabetes

Kardiomiopati diabetes merosakkan struktur dan fungsi jantung. Ia boleh membawa kepada kegagalan jantung dan aritmia.

Akan tetapi, terdapat cara untuk mengurangkan risiko penyakit jantung anda. Dengan membaca artikel ini, anda telah mengambil langkah pertama yang penting untuk menjaga diri anda. 

  1. Bersenam. Menjadi aktif memberi manfaat kepada jantung anda, terutamanya jika anda melakukan senaman aerobik seperti berjalan pantas dan mengayuh basikal yang menguatkan jantung anda dan membantu paru-paru anda berfungsi dengan lebih baik.
  2. Makan dengan sihat. Ikuti pelan pemakanan yang sihat. Kurang inspirasi? Lihatlah resipi di Pinterest atau Instagram, atau kunjungi perpustakaan tempatan anda untuk buku resipi sihat. Untuk resipi yang sesuai untuk pesakit kencing manis, cubalah resipi yang diterbitkan oleh Diabetes Singapore.
  3. Sasar dan kekalkan berat yang sihat. Kedua-dua obesiti dan kencing manis boleh membawa kesan yang bahaya kepada jantung anda.

 Jika anda risau tentang risiko penyakit jantung anda, jumpalah doktor anda untuk berbincang.

Penafian: Maklumat ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja dan tidak bertujuan untuk menggantikan nasihat yang diberikan oleh doktor anda. Maklumat ini tidak patut digunakan untuk mendiagnos masalah kesihatan atau membuat keputusan untuk mengubati diri sendiri. Boehringer Ingelheim tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kerosakan atau kerugian yang timbul daripada akses kepada atau penggunaan maklumat yang disediakan.

RUJUKAN:


[i] Yayasan Jantung n.d., What is coronary heart disease?, dilihat 20 Mei 2018, <https://www.heartfoundation.org.au/your-heart/heart-conditions/what-is-coronary-heart-disease>

[ii] Institut Jantung, Paru-Paru dan Darah Negara n.d., Diabetic Heart Disease, dilihat pada 21 Mei 2018, <https://www.nhlbi.nih.gov/health-topics/diabetic-heart-disease>

PC-SG-100145 Nov 2018